A Doctor In The House The Memoirs Of Tun Mahathir Mohamad adalah
buah karya tulisan peribadi dari sudut pandangan tersendiri seorang bekas
Perdana Menteri Malaysia yang ke-4, Tun Mahathir Mohamad. Sebuah karya asal dalam Bahasa Inggeris yang memang
mendapat perhatian seluruh dunia. Tun menyifatkan buku ini adalah pandangan dan
luahan hati beliau dalam usaha membangunkan Malaysia sebagai sebuah negara
moden.
Menjurus kepada apa yang dikisahkan dalam bab 2 dalam buku ini yg
bertajuk Nilai Kekeluargaan, penulis menceritakan tentang latarbelakang
kehidupan keluarganya. Tentang ayahnya Mohamad bin Iskandar yang merupakan
seorang guru biasa yang bermula dengan minatnya untuk belajar di sekolah Inggeris
dan merahsiakan perbuatannya daripada ibu bapanya yang juga datuk dan nenek Tun
Mahathir. Mempunyai latarbelakang pendidikan
Inggeris sehingga lulus Darjah Empat dan kemudiannya menjadi guru Bahasa Inggeris. Bapanya melalui proses latihan dalam kelas
dan juga merupakan guru kepada Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri Malaysia
Pertama. Seorang guru yang tegas dan pastinya tidak digemari termasuk Tunku.
Ketegasannya bukan kekerasan kerana bapanya tidak pernah memukul mereka. Tetapi cukup untuk menjadikan adik-beradik
Tun kekal di meja besar diruang tamu yang dijadikan tempat belajar dan hanya
berhenti apabila tiba waktu makan.
Selain Tun dan adik-beradiknya, sepupu mereka Tun Syed Ahmad Syed Mahmud
Shahabuddin juga tinggal bersama mereka kerana ingin dididik dengan cara yang
sama.
Bab ini juga menceritakan tentang bagaimana mereka sekeluarga
terpaksa hidup merantau kerana tuntutan tugas sebagai guru di Pahang dan Johor.
Kakaknya Habsah dilahirkan di Pahang dan abangnya Mahadi dilahirkan di Johor ketika
bapanya bertugas di Johor English College.
Setelah lapan tahun berkhidmat, bapanya meletak jawatan sebagai guru dan
menyertai Jabatan Audit Kedah kerana ingin dekat dengan kampung halaman serta
kecekapananya dalam bidang matematik.
Sifir Highest Common Factor (HCF) dan Lowest Common Factor (LFC) yang diajarkan
ayahnya kepada abangnya menjadikan Tun juga pandai dalam mental arithmetic.
Bapanya bersara ketika Tun dalam Darjah Dua di Sekolah Inggeris Kerajaan, Alor
Setar.
Tun dilahirkan di Seberang Perak, lokasi termiskin di Alor Setar
pada 10 Julai 1925 tetapi didaftarkan kelahirannya pada 20 Disember 1925 kerana bapanya ingin
mengelak daripada masalah berkaitan umur apabila didaftarkan untuk sesi
persekolahan.
Mereka tinggal di kawasan setinggan. Rumahnya hanya mempunyai 2
buah katil, satu untuk ayah dan ibunya dan satu lagi untuk ahli keluarga yang
baru berkahwin. Adik-beradiknya hanya
tidur beralas tilam nipis dan kelambu yang digantung dipenjuru rumah yang harus
dikemas semula setiap pagi. Dikelilingi
pelbagai ragam manusia yang masih kekal dalam ingatan sehingga hari ini, kawan bernama
Abdul Rahman Awang, anak Pak Awang Ladeh yang merupakan rakan sekuliah pada
1947 yang akhirnya menjadi Pengarah Jabatan Pergigian Malaysia. Mereka juga adalah bukti bahawa sesiapa saja
boleh berjaya asalkan mereka gigih berusaha.
Bab ini banyak menceritakan tentang kisah-kisah kecil yang
tersendiri seperti aktiviti memancing ikan temekong ketika hujan, makcik
penjual cucur, juga India pengangkut air dengan bajunya penuh hiasan
syiling-syiling akan tiba-tiba sahaja meletakkan tong-tong airnya dan menari. Malah
Tun, sentiasa terbayangkannya bila memakai pakaian rasmi dan memasang pingat
kebesaran dibajunya sendiri.
Tun memperkenalkan ayahnya yang merupakan Melayu Pulau Pinang yang
ada darah keturunan India. Ibunya Wan Tempawan berketurunan Melayu Kedah. Mereka
berkahwin dengan diatur oleh orang tua dan melahirkan anak-anak yang dipanggil
Jawi Peranakan dan membesarkan anak-anak dengan cara dan adat budaya orang Melayu
yang penuh adab tertib. Mereka mengamalkan
gaya hidup yang penuh kesopanan dan adab Melayu. Tun menyifatkan itu sebagai
ortodoks.
Adik-beradik Tun mendapat pendidikan yang secukupnya. Malah Tun beruntung
kerana merasakan dialah yang mendapat pendidikan tertinggi dalam keluarga
apabila berjaya menjadi seorang doktor. Penekanan
ilmu yang seimbang oleh ibu dan bapanya menjadikan Tun seorang yang sangat
minat untuk menimba ilmu dan membaca pelbagai jenis buku.
Pelajaran tentang kehidupan diterapkan oleh ibu Tun, Wan Tempawan
dengan memberi penghargaan atas setiap usaha yang telah dibuat mengajar beliau
untuk lebih menghargai hasil usaha dan titik peluh sendiri. Tun diajar berusaha
untuk mendapatkan setiap sesuatu. Antaranya, untuk memiliki sebatang pen, ibunya
menyuruh Tun mengangkut air dan menyiram melur dengan upah satu sen sehari. Tun
belajar menjana wang dengan menjual belon pada setiap jumaat menggunakan wang
poket sendiri. Tidak ketinggalan juga kisah dibuli pelajar senior di sekolah. Didikan
ibunya, menjadikan Tun seorang yang bersyukur dan menghargai apa yang dimiliki.
Juga belajar bersederhana apabila dikurangkan wang belanja harian kerana ayahnya
sudah berpencen. Ibunya membuat bedak
sejuk dan minyak urut sebagai usaha kecil-kecilan. Kehidupan Tun memang berbeza
dengan kehidupan anak muda kini. Mereka tidak
menyatakan perasaan dengan kata-kata, tetapi menzahirkan dengan perbuatan. Ibunya tidak mahu Tun menjadi inspektor polis
dan doktor. Tetapi, tidak menghalang
niatnya apabila Tun akhirnya menyuarakan ingin menyambung pelajaran dalam
bidang perubatan.
Kehidupan Tun banyak dipengaruhi oleh abang dan kakaknya kerana Tun
merupakan anak yang bongsu. Apabila beliau
melakukan kesalahan, kakak dan abangnya akan memukul tangan untuk membetulkan
kesalahan itu. Kakak sulung Tun, Rafeah paling
rapat dengan beliau dan tinggal bersamanya sehinggalah meninggal dunia pada 1
September 2009.
Tun menjelaskan segala nilai yang telah diterapkan melalui didikan
keluarga, bertanggungjawab, bersederhana, tolak ansur dan saling menghormati
menjadi bekalan kepada beliau dalam menjalankan tugas sebagai menteri,
seterusnya, perdana menteri. Tun tidak
pernah memindahkan mana-mana staf yang berkhidmat denganya atas alasan tidak
berkhidmat dengan baik kerana baginya, pertukaran itu tidak menjamin untuk
beliau mendapat pengganti yang lebih baik.
Malah, beliau mengambil pendekatan untuk saling menerima dan menegur
untuk memperbaiki. Hasilnya, Tun
mendapat kakitangan yang setia berkhidmat untuknya sehinggalah sekarang.
Ibu dan ayah Tun menjadi contoh terbaik kepada beliau tentang nilai
kekeluargaan. Mereka berkongsi cerita dan meluangkan masa bersama walau hanya
bersandar pada tiang dalam rumah dan menghadap wajah masing-masing. Mereka tidak menunjukkan kasih sayang, kerana
itu dianggap tidak manis. Mereka saling
mengasihi dengan cara yang tersendiri. Apabila bapanya meningkat tua,
jantungnya mulai lemah dan beliau enggan kemana-mana. Ketika itu, Tun sudah menjadi pegawai
perubatan dan tinggal di rumah kerajaan. Tun percaya itu adalah kerana bapanya
tidak mahu meninggal jauh dari rumah mereka. Tun malah menjenguk ibu bapanya,
setiap hari sepulang dari hospital. Bapa
Tun meninggal dunia pada 1962 disusuli dengan pemergian ibundanya tercinta tiga
tahun kemudian kesan kemurungan dan hilang selera makan walaupun pun beliau tidak
pernah lupa untuk bergegas pulang menemui ibunya setiap hari dan menceriakannya
selepas pemergian suaminya.
Tun Mahathir datang daripada keluarga yang mementingkan
pendidikan. Beliau mempunyai didikan
agama yang sempurna hasil daripada usaha ibunya yang sentiasa memberikan yang
terbaik untuk melihat mereka berjaya di dunia dan akhirat. Atas sebab itu, Tun tidak mengamalkan
poligami kerana percaya bahawa seorang isteri adalah sudah mencukupi dan
bimbang tidak dapat berlaku adil. Malah beliau
bersyukur kerana isterinya Hasmah juga datang daripada latarbelakang keluarga
yang tidak mengamalkan poligami malah merasakan ianya adalah ketidakadilan pada
lelaki lain yang belum berkahwin. Namun begitu,
Tun tidak menafikan bahawa poligami adalah dibenarkan mengikut syarat-syarat
tertentu.
Tun juga memperincikan sikap toleransi dalam rumah tangga. Beliau seorang yang sangat menepati masa tetapi
Hasmah seringkali lewat. Beliau berusaha
mengatasi perkara itu dengan membontoti Hasmah ke mana sahaja sehinggalah
beliau selesai. Perkara itu dianggap
sebagai gurauan dan itu adalah antara resepi kebahagiaan rumah tangga mereka. Walaupun
Hasmah tetap lambat bersiap sehingga kini.
Nilai kekeluargaan ini memang sudah diterap dalam hidup Tun
Mahathir sedari kecil. Neneknya, tinggal
bersama keluarga mereka sehingga beliau meninggal. Ini menjadikan Tun seorang yang sangat
mementingkan nilai kekeluargaan. Maka Tun tidak setuju dengan drama-drama yang
memberikan nilai negatif terhadap kepentingan hidup berkeluarga dan kasih
sayang pada ibu bapa. Tidak dinafikan,
hubungan kekeluargaan dan kedudukan yang tinggi menyusahkannya. Ini kerana,
ketika beliau bergelar perdana menteri, ramai saudara-mara yang datang membawa
sampul coklat cadangan memohon sokongan.
Hakikatnya, Tun tidak pernah melobi dan percaya, jika cadangan itu
diterima adalah kerana ia memang permohonan yang baik. Namun, bagi yang gagal, mereka ada yang
sehingga kini masih tidak bertegur sapa dengannya.
Bukan hanya saudara, malah anak-anak dan isteri juga diterangkan
tentang perkara ini. Tun menegaskan,
semasa dan selagi beliau adalah seorang anggota kerajaan, anak-anaknya tidak
dibenarkan terlibat dalam politik. Tun berpegang
teguh bahawa keluarganya, tiada peranan dalam kerajaan. Apa juga yang dimiliki oleh anak-anaknya
adalah daripada hasil usaha mereka sendiri. Walaubagaimanpun, selepas bersara,
Tun merasakan adalah tidak adil untuk menyekat hak anak-anaknya untuk bergiat
dalam politik jika itu yang mereka mahu. Selain itu, Tun mengharapkan apa yang
telah diterapkan dalam kehidupannya dan anak-anaknya dijadikan iktibar dan yang
paling penting, mereka tidak menyalahgunakan kuasa dan kedudukan.
Semua dasar yang dibentuk sewaktu pentadbiranya adalah untuk
seluruh rakyat Malaysia. Bukan bertumpu kepada golongan tertentu atau bersifat
peribadi. Tun tidak pernah memodalkan anak-anaknya, malah mereka juga tidak
pernah berbincang tentang kerja sewaktu bersama. Seluruh keluarga faham bahawa
Tun adalah sangat sibuk dengan urusan negara dan urusan mereka adalah
tanggungan mereka sendiri. Sebaik menjadi
perdana menteri, Tun bukan lagi milik keluarga. Segala urusan perlu
diselesaikan sendiri. Hasmahlah yang menjadi tempat untuk mereka mengadu. Beliau
tidak pernah merungut dan sangat memahami.
Tun mengingatkan anak-anak jangan berlagak seperti anak orang kaya.
Menceritakan kisah kecilnya dulu untuk pengajaran anak-anak dan berharap
anak-anaknya membaca buku ini terutama kisah ibu bapanya dan kisah kanak-kanaknya
dan berharap mereka terjumpa sesuatu yang menarik minat mereka, belajar sesuatu
tentang bapa mereka, melihat perilaku atau menjumpai sesuatu yang unik untuk
diperturun kepada anak-anak mereka kerana setiap sesuatu itu boleh menjadi
pelajaran hanya jika kita bijak mentafsir.
* this is my original review based on the reading of this book (chap 2 only) in both version, English and Bahasa Melayu
No comments:
Post a Comment