Monday, May 18, 2015

a review on A DOCTOR IN THE HOUSE-the memoirs of Tun Mahathir Mohamad


 

A Doctor In The House The Memoirs Of Tun Mahathir Mohamad adalah buah karya tulisan peribadi dari sudut pandangan tersendiri seorang bekas Perdana Menteri Malaysia yang ke-4, Tun Mahathir Mohamad.  Sebuah karya asal dalam Bahasa Inggeris yang memang mendapat perhatian seluruh dunia. Tun menyifatkan buku ini adalah pandangan dan luahan hati beliau dalam usaha membangunkan Malaysia sebagai sebuah negara moden. 

Menjurus kepada apa yang dikisahkan dalam bab 2 dalam buku ini yg bertajuk Nilai Kekeluargaan, penulis menceritakan tentang latarbelakang kehidupan keluarganya. Tentang ayahnya Mohamad bin Iskandar yang merupakan seorang guru biasa yang bermula dengan minatnya untuk belajar di sekolah Inggeris dan merahsiakan perbuatannya daripada ibu bapanya yang juga datuk dan nenek Tun Mahathir.  Mempunyai latarbelakang pendidikan Inggeris sehingga lulus Darjah Empat dan kemudiannya menjadi guru Bahasa Inggeris.  Bapanya melalui proses latihan dalam kelas dan juga merupakan guru kepada Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri Malaysia Pertama. Seorang guru yang tegas dan pastinya tidak digemari termasuk Tunku. Ketegasannya bukan kekerasan kerana bapanya tidak pernah memukul mereka.  Tetapi cukup untuk menjadikan adik-beradik Tun kekal di meja besar diruang tamu yang dijadikan tempat belajar dan hanya berhenti apabila tiba waktu makan.  Selain Tun dan adik-beradiknya, sepupu mereka Tun Syed Ahmad Syed Mahmud Shahabuddin juga tinggal bersama mereka kerana ingin dididik dengan cara yang sama. 

Bab ini juga menceritakan tentang bagaimana mereka sekeluarga terpaksa hidup merantau kerana tuntutan tugas sebagai guru di Pahang dan Johor. Kakaknya Habsah dilahirkan di Pahang dan abangnya Mahadi dilahirkan di Johor ketika bapanya bertugas di Johor English College.  Setelah lapan tahun berkhidmat, bapanya meletak jawatan sebagai guru dan menyertai Jabatan Audit Kedah kerana ingin dekat dengan kampung halaman serta kecekapananya dalam bidang matematik.  Sifir Highest Common Factor (HCF) dan Lowest Common Factor (LFC) yang diajarkan ayahnya kepada abangnya menjadikan Tun juga pandai dalam mental arithmetic. Bapanya bersara ketika Tun dalam Darjah Dua di Sekolah Inggeris Kerajaan, Alor Setar.

Tun dilahirkan di Seberang Perak, lokasi termiskin di Alor Setar pada 10 Julai 1925 tetapi didaftarkan kelahirannya pada  20 Disember 1925 kerana bapanya ingin mengelak daripada masalah berkaitan umur apabila didaftarkan untuk sesi persekolahan.

Mereka tinggal di kawasan setinggan. Rumahnya hanya mempunyai 2 buah katil, satu untuk ayah dan ibunya dan satu lagi untuk ahli keluarga yang baru berkahwin.  Adik-beradiknya hanya tidur beralas tilam nipis dan kelambu yang digantung dipenjuru rumah yang harus dikemas semula setiap pagi.  Dikelilingi pelbagai ragam manusia yang masih kekal dalam ingatan sehingga hari ini, kawan bernama Abdul Rahman Awang, anak Pak Awang Ladeh yang merupakan rakan sekuliah pada 1947 yang akhirnya menjadi Pengarah Jabatan Pergigian Malaysia.  Mereka juga adalah bukti bahawa sesiapa saja boleh berjaya asalkan mereka gigih berusaha. 

Bab ini banyak menceritakan tentang kisah-kisah kecil yang tersendiri seperti aktiviti memancing ikan temekong ketika hujan, makcik penjual cucur, juga India pengangkut air dengan bajunya penuh hiasan syiling-syiling akan tiba-tiba sahaja meletakkan tong-tong airnya dan menari. Malah Tun, sentiasa terbayangkannya bila memakai pakaian rasmi dan memasang pingat kebesaran dibajunya sendiri.

Tun memperkenalkan ayahnya yang merupakan Melayu Pulau Pinang yang ada darah keturunan India. Ibunya Wan Tempawan berketurunan Melayu Kedah. Mereka berkahwin dengan diatur oleh orang tua dan melahirkan anak-anak yang dipanggil Jawi Peranakan dan membesarkan anak-anak dengan cara dan adat budaya orang Melayu yang penuh adab tertib.  Mereka mengamalkan gaya hidup yang penuh kesopanan dan adab Melayu. Tun menyifatkan itu sebagai ortodoks.

Adik-beradik Tun mendapat pendidikan yang secukupnya. Malah Tun beruntung kerana merasakan dialah yang mendapat pendidikan tertinggi dalam keluarga apabila berjaya menjadi seorang doktor.  Penekanan ilmu yang seimbang oleh ibu dan bapanya menjadikan Tun seorang yang sangat minat untuk menimba ilmu dan membaca pelbagai jenis buku.

Pelajaran tentang kehidupan diterapkan oleh ibu Tun, Wan Tempawan dengan memberi penghargaan atas setiap usaha yang telah dibuat mengajar beliau untuk lebih menghargai hasil usaha dan titik peluh sendiri. Tun diajar berusaha untuk mendapatkan setiap sesuatu. Antaranya, untuk memiliki sebatang pen, ibunya menyuruh Tun mengangkut air dan menyiram melur dengan upah satu sen sehari. Tun belajar menjana wang dengan menjual belon pada setiap jumaat menggunakan wang poket sendiri. Tidak ketinggalan juga kisah dibuli pelajar senior di sekolah. Didikan ibunya, menjadikan Tun seorang yang bersyukur dan menghargai apa yang dimiliki. Juga belajar bersederhana apabila dikurangkan wang belanja harian kerana ayahnya sudah berpencen.  Ibunya membuat bedak sejuk dan minyak urut sebagai usaha kecil-kecilan. Kehidupan Tun memang berbeza dengan kehidupan anak muda kini.  Mereka tidak menyatakan perasaan dengan kata-kata, tetapi menzahirkan dengan perbuatan.  Ibunya tidak mahu Tun menjadi inspektor polis dan doktor.  Tetapi, tidak menghalang niatnya apabila Tun akhirnya menyuarakan ingin menyambung pelajaran dalam bidang perubatan. 

Kehidupan Tun banyak dipengaruhi oleh abang dan kakaknya kerana Tun merupakan anak yang bongsu.  Apabila beliau melakukan kesalahan, kakak dan abangnya akan memukul tangan untuk membetulkan kesalahan itu.  Kakak sulung Tun, Rafeah paling rapat dengan beliau dan tinggal bersamanya sehinggalah meninggal dunia pada 1 September 2009.

Tun menjelaskan segala nilai yang telah diterapkan melalui didikan keluarga, bertanggungjawab, bersederhana, tolak ansur dan saling menghormati menjadi bekalan kepada beliau dalam menjalankan tugas sebagai menteri, seterusnya, perdana menteri.  Tun tidak pernah memindahkan mana-mana staf yang berkhidmat denganya atas alasan tidak berkhidmat dengan baik kerana baginya, pertukaran itu tidak menjamin untuk beliau mendapat pengganti yang lebih baik.  Malah, beliau mengambil pendekatan untuk saling menerima dan menegur untuk memperbaiki.  Hasilnya, Tun mendapat kakitangan yang setia berkhidmat untuknya sehinggalah sekarang. 

Ibu dan ayah Tun menjadi contoh terbaik kepada beliau tentang nilai kekeluargaan. Mereka berkongsi cerita dan meluangkan masa bersama walau hanya bersandar pada tiang dalam rumah dan menghadap wajah masing-masing.  Mereka tidak menunjukkan kasih sayang, kerana itu dianggap tidak manis.  Mereka saling mengasihi dengan cara yang tersendiri. Apabila bapanya meningkat tua, jantungnya mulai lemah dan beliau enggan kemana-mana.  Ketika itu, Tun sudah menjadi pegawai perubatan dan tinggal di rumah kerajaan. Tun percaya itu adalah kerana bapanya tidak mahu meninggal jauh dari rumah mereka. Tun malah menjenguk ibu bapanya, setiap hari sepulang dari hospital.  Bapa Tun meninggal dunia pada 1962 disusuli dengan pemergian ibundanya tercinta tiga tahun kemudian kesan kemurungan dan hilang selera makan walaupun pun beliau tidak pernah lupa untuk bergegas pulang menemui ibunya setiap hari dan menceriakannya selepas pemergian suaminya.

Tun Mahathir datang daripada keluarga yang mementingkan pendidikan.  Beliau mempunyai didikan agama yang sempurna hasil daripada usaha ibunya yang sentiasa memberikan yang terbaik untuk melihat mereka berjaya di dunia dan akhirat.  Atas sebab itu, Tun tidak mengamalkan poligami kerana percaya bahawa seorang isteri adalah sudah mencukupi dan bimbang tidak dapat berlaku adil.  Malah beliau bersyukur kerana isterinya Hasmah juga datang daripada latarbelakang keluarga yang tidak mengamalkan poligami malah merasakan ianya adalah ketidakadilan pada lelaki lain yang belum berkahwin.  Namun begitu, Tun tidak menafikan bahawa poligami adalah dibenarkan mengikut syarat-syarat tertentu. 

Tun juga memperincikan sikap toleransi dalam rumah tangga.  Beliau seorang yang sangat menepati masa tetapi Hasmah seringkali lewat.  Beliau berusaha mengatasi perkara itu dengan membontoti Hasmah ke mana sahaja sehinggalah beliau selesai.  Perkara itu dianggap sebagai gurauan dan itu adalah antara resepi kebahagiaan rumah tangga mereka. Walaupun Hasmah tetap lambat bersiap sehingga kini.

Nilai kekeluargaan ini memang sudah diterap dalam hidup Tun Mahathir sedari kecil.  Neneknya, tinggal bersama keluarga mereka sehingga beliau meninggal.  Ini menjadikan Tun seorang yang sangat mementingkan nilai kekeluargaan. Maka Tun tidak setuju dengan drama-drama yang memberikan nilai negatif terhadap kepentingan hidup berkeluarga dan kasih sayang pada ibu bapa.  Tidak dinafikan, hubungan kekeluargaan dan kedudukan yang tinggi menyusahkannya. Ini kerana, ketika beliau bergelar perdana menteri, ramai saudara-mara yang datang membawa sampul coklat cadangan memohon sokongan.  Hakikatnya, Tun tidak pernah melobi dan percaya, jika cadangan itu diterima adalah kerana ia memang permohonan yang baik.  Namun, bagi yang gagal, mereka ada yang sehingga kini masih tidak bertegur sapa dengannya.

Bukan hanya saudara, malah anak-anak dan isteri juga diterangkan tentang perkara ini.  Tun menegaskan, semasa dan selagi beliau adalah seorang anggota kerajaan, anak-anaknya tidak dibenarkan terlibat dalam politik.  Tun berpegang teguh bahawa keluarganya, tiada peranan dalam kerajaan.  Apa juga yang dimiliki oleh anak-anaknya adalah daripada hasil usaha mereka sendiri. Walaubagaimanpun, selepas bersara, Tun merasakan adalah tidak adil untuk menyekat hak anak-anaknya untuk bergiat dalam politik jika itu yang mereka mahu. Selain itu, Tun mengharapkan apa yang telah diterapkan dalam kehidupannya dan anak-anaknya dijadikan iktibar dan yang paling penting, mereka tidak menyalahgunakan kuasa dan kedudukan.

Semua dasar yang dibentuk sewaktu pentadbiranya adalah untuk seluruh rakyat Malaysia. Bukan bertumpu kepada golongan tertentu atau bersifat peribadi. Tun tidak pernah memodalkan anak-anaknya, malah mereka juga tidak pernah berbincang tentang kerja sewaktu bersama. Seluruh keluarga faham bahawa Tun adalah sangat sibuk dengan urusan negara dan urusan mereka adalah tanggungan mereka sendiri.  Sebaik menjadi perdana menteri, Tun bukan lagi milik keluarga. Segala urusan perlu diselesaikan sendiri. Hasmahlah yang menjadi tempat untuk mereka mengadu. Beliau tidak pernah merungut dan sangat memahami. 

Tun mengingatkan anak-anak jangan berlagak seperti anak orang kaya. Menceritakan kisah kecilnya dulu untuk pengajaran anak-anak dan berharap anak-anaknya membaca buku ini terutama kisah ibu bapanya dan kisah kanak-kanaknya dan berharap mereka terjumpa sesuatu yang menarik minat mereka, belajar sesuatu tentang bapa mereka, melihat perilaku atau menjumpai sesuatu yang unik untuk diperturun kepada anak-anak mereka kerana setiap sesuatu itu boleh menjadi pelajaran hanya jika kita bijak mentafsir. 
* this is my original review based on the reading of this book (chap 2 only) in both version, English and Bahasa Melayu

 

 

 

 

back at 1